Selasa, 11 Desember 2012
Kenapakah Fitnah Dajjal itu Bahaya Kepada Umat Islam ?
Dajjal seperti yang digambarkan di
dalam hadis ialah seorang lelaki yang buta sebelah matanya dan tertulis di
antara kedua matanya itu perkataan kafir. Mendengar fizikalnya seperti ini
pasti ramai yang tertanya-tanya apakah bahayanya Dajjal kepada umat Islam ?
Bukankah semua orang pasti sudah
tahu akan kesesatannya dan mengenal tanda-tandanya ?
Jawapannya ialah ramai orang
sebenarnya jahil dan memandang rendah kepada fitnah Dajjal serta tidak
mengetahui betapa bahayanya Dajjal kepada manusia dan tidak pula bersiap sedia
untuk menghadapi kebangkitan dan fitnahnya.
Fitnah Dajjal disebut oleh nabi
salallahualaihiwassalam sebagai fitnah yang terbesar akan menimpa manusia.
Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah bersabda (yang bermaksud) : “Sejak
penciptaan Adam sehinggalah terjadinya kiamat tidak ada perkara lain yang lebih
besar dari Dajjal.” (Hadis riwayat Muslim)
Di dalam riwayat yang lain, Abdullah
Ibn Umar ra berkata rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda : “Aku
sungguh-sungguh berwasiat agar kamu semua berhati-hati terhadapnya. Tidak ada
seorang nabi pun yang tidak memperingatkan kaumnya tentang bahaya Dajjal namun
aku akan memberitahu kalian tentang sesuatu yang tidak pernah diberitahu oleh
seorang nabi pun sebelumku kepada kaumnya iaitu bahawa Dajjal itu buta sebelah
matanya dan Allah itu tidaklah buta sebelah mata. (Hadis riwayat Bukhari)
Berapa ramai orang yang membaca
hadis-hadis seperti ini tetapi mereka melaluinya seperti tidak mendapati
apa-apa bahaya dan merasa terancam olehnya. Kata mereka sudah banyak orang yang
mengaku nabi sejak dari zaman awal Islam. Sudah ramai tokoh-tokoh palsu, ajaran
sesat dan kepala pendusta agama yang membawa ajaran ganjil ini yang telah
berjaya dihapuskan dan beranggapan Dajjal ini akan muncul seperti golongan
sesat, ahli bid’ah dan golongan menyeleweng yang lain serta berada sebaris
dengan tokoh-tokoh pemalsu agama seperti Ayah Pin, Qadiani dan nabi palsu
lainnya.
Oh mereka itu ternyata silap sama
sekali !
Dajjal itu kelasnya bukanlah setaraf
dengan nabi palsu atau wali-wali keramat dan tok guru yang dapat ditangkap dan
dipenjarakan.
Dajjal itu bahkan mengaku dirinya
sebagai tuhan dan mempunyai pelbagai keajaiban dan kekuatan yang tidak dapat
dibayangkan !
Dajjal itu fitnahnya ialah
kesyirikkan global dan kehancuran dunia serta mengangkat kekufuran dan
menyeliputi seluruh alam dengan kepalsuan dan kebathilan.
Lawan Dajjal itu pula bukanlah
seorang polis agama atau Kadi dan mufti sebaliknya seorang rasul khas yang
ditugaskan secara khusus untuk memerangi Dajjal di akhir zaman.
Nabi Isa alaihisalam yang kini
berada di sisi Allah SWT.
Firman Allah SWT : “dan kerana ucapan
mereka: "Sesungguhnya kami telah membunuh Al Masih, Isa putra Maryam,
Rasul Allah, padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya,
tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka.
Sesungguhnya orang-orang yang berselisih paham tentang (pembunuhan) Isa,
benar-benar dalam keraguan tentang yang dibunuh itu. Mereka tidak mempunyai
keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka,
mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa. Tetapi (yang
sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya. Dan
adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa : 157-158)
Jadi masihkah anda mampu memandang
rendah ?
Di dalam sebuah hadis dari jalan Abu
Umamah ra bahawa nabi salallahualaihiwassalam diriwayatkan bersabda : “Wahai
sekalian manusia, sesungguhnya sejak Allah memperbanyakkan keturunan Adam itu
tidak adalah fitnah di atas muka bumi ini yang lebih besar selain fitnah
Dajjal. Dan Allah azza wa jalla tidaklah mengutuskan seorang nabi pun kecuali
mereka memperingatkan kaumnya tentang bahaya Dajjal. Aku ialah nabi yang
terakhir dan kamua semua pula adalah umat yang terakhir. Sesungguhnya Dajjal
itu pastilah akan muncul di tengah-tengah kamu semua.”(hadis riwayat Ibn Majah,
Ibn Khuzaimah dan Al-Hakim di dalam Mustadrak)
Jika para rasul di setiap zaman pun
merasa takut dan memperingatkan bahayanya Dajjal serta nabi Muhammad salallahualaihiwassalam
sendiri berasa bimbang dan sentiasa berpesan kepada para sahabatnya tentang
fitnah lelaki buta ini maka apakah alasan dan puncanya yang menyebabkan anda
tidak berasa bimbang ?
Hafal 10 ayat Surah Al-Kahfi halau
Dajjal
Diriwayatkan Nabi salallahualaihiwassalam
bersabda : “Barangsiapa yang menghafaz 10 ayat yang awal dari surah Al-Kahfi
akan di pelihara dan di selamatkannya dari fitnah Dajjal.” (hadis riwayat
Muslim)
Rupa-rupanya budaya Melayu baca
Al-quran untuk menghalau hantu masih menebal di dalam minda. Amalan membaca
Yassin malam Jumaat yang dianggap dapat menyelesaikan masalah, seperti membuat
air penawar untuk anak menduduki peperiksaan dan mencari siapakah pencuri dalam
kampong atau asrama masih bersarang di minda orang Melayu.
Firman Allah SWT : “Dan apabila kamu
membaca Al Quran nescaya Kami akan adakan di antara kamu dan orang-orang yang
tidak beriman kepada kehidupan akhirat itu suatu dinding yang tertutup.”
(Al-Isra : 45)
Patutlah umat Islam kebanyakkannya
tidak berasa bimbang dengan fitnah Dajjal kerana mereka menyangka kononnya
mereka sudah mempunyai tangkal azimat berupa ayat-ayat Al-Kahfi buat
menakut-nakutkan Dajjal.
Nyah kau dari sini ! Aku bacakan
surah Al-Kahfi nanti !
Agaknya mungkin itulah dialog yang
mereka rancang untuk gunakan apabila berhadapan dengan Dajjal nanti.
Jika begitu mudah menghalau Dajjal
maka tidak perlulah para rasul dari zaman berzaman berpesan dan memperingatkan
umatnya tentang bahaya Dajjal.
Bahkan di dalam sebuah hadis dari
jalan Imran bin Hussain ra bahawa rasulullah salallahualaihiwassalam pernah
bersabda : “Siapa yang mendengar Dajjal hendaklah dia menjauhinya. Demi Allah,
ada seorang lelaki yang datang kepadanya dengan penuh yakin dirinya sebagai
seorang mukmin namun ternyata akhirnya lelaki itu kemudian menjadi pengikut
Dajjal kerana tipu daya yang dilakukannya.” (hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Bahayanya Dajjal itu terletak pada
tipu-dayanya !
Musibah dan fitnah yang menimpa umat
Islam akibat dari kedatangan Dajjal ialah pada aqidah dan kehidupan beragama
mereka yang tergugat dengan sistem dan nilai yang dibawa oleh Dajjal.
Bermula dari Rasul yang awal, Nabi
Nuh Alaihissalam sehinggalah kepada nabi Muhammad Salallahualaihiwassalam
semuanya membawa tauhid dan menyeru manusia kepada Allah SWT serta mengajak
supaya menjauhi thaghut iaitu syirik dan kebathilan.
Bahayanya fitnah Dajjal itu adalah
lebih besar dari kebahayaan syirik dan kefasikan yang pernah terjadi pada
umat-umat terdahulu.
Ini kerana melalui tauhid dan Islam
yang dibawa oleh setiap Rasul, manusia yang berakal dan waras akan mampu
berfikir dengan kebijaksanaan mereka untuk memilih deen Allah dan menerima
Islam sebagai salah satu cara hidup.
Hanya sahaja ianya tidak begitu
mudah berlaku dalam sejarah para rasul terdahulu disebabkan oleh pertentangan
golongan tua dan adat jahiliyyah mereka yang ketat dan kerana keterikatan
mereka dengan peninggalan agama nenek moyang dan sikap taklid buta.
Namun secara umumnya apabila
golongan tua dan ketua-ketua kufur ini telah ditewaskan dalam peperangan atau
meninggal dunia maka kaum muda dan generasi baru mereka begitu mudah menerima
Islam.
Hal ini disebabkan kesyirikkan dan
kebathilan itu ternyata suatu kekotoran dan cara hidup mereka adalah amat
buruk.
Kufur itu buruk apabila mereka
menyembah tuhan yang banyak dan berselisih.
Zina itu juga buruk apabila mereka
didatangi dengan pelbagai penyakit dan menjadi resah oleh keturunan yang
tercemar.
Penipuan dalam timbangan serta riba
juga adalah buruk kerana mereka dianaiyai dan selalu ditindas oleh orang yang
lebih bijak dan lebih mempunyai kelebihan ekonomi dan yang lemah terus
diperhambakan.
Apabila datangnya Islam maka sudah
tentu masyarakat Jahiliyyah ini berbodong-bondong mahu masuk ke dalam agama ini
demi mengharap kehidupan dan kebaikan yang jelas ketara berbanding amalan
syirik dan kehidupan tanpa syariat.
Firman Allah SWT : “Apabila telah datang
pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah
dengan berbondong-bondong.” (An-Nasr : 1-2)
Tetapi ajaran dan fitnah Dajjal ini
lebih dahsyat !
Fitnah Dajjal ialah apabila Dia
membawa ajaran dan sistem nilai serta cara hidup yang dapat ditonjolkan sebagai
atau kelihatan seolah-olah lebih baik dari sistem Islam.
Firman Allah SWT : “Celupan Allah
(yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan acuan Islam) dan siapakah yang
lebih baik celupannya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.”
(Al-baqarah : 138)
Ajaran Dajjal seolah-olah satu
bid’ah (penambahan) dan pelengkap sehingga manusia merasa sayang untuk tidak
menggunakannya dan merasa rugi jika tidak menerima apa yang dibawa oleh Dajjal
kerana ianya kelihatan lebih baik dari Deen Allah dan lebih bagus serta lebih
sesuai untuk diamalkan dan dilaksanakan di atas muka bumi ini dari syariat
Allah SWT.
Firman Allah SWT : “Katakanlah:
"Tidaklah sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk
itu menarik hatimu, maka bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang
berakal, agar kamu mendapat keuntungan." (Al-Maidah : 100)
Itulah bahaya paling besar Dajjal ke
atas manusia !
Apabila umat Islam selama ini
beraqidah dengan Al-Quran dan As-sunnah maka Dajjal membawa sistem pemikiran
dan keyakinan berasaskan realiti semasa dan fakta serta mengajak umat Islam
untuk berpindah dari kitab Allah dan Sunnah rasul-Nya kepada faham baru yang
kelihatan seolah-olah lebih baik dan lebih menyesuai dengan zaman dan tuntutan
semasa.
Demikian juga di dalam perihal
ibadah, solat, puasa, zakat dan haji serta amalan-amalan agama yang lain
semuanya akan menerima pengaruh Dajjal sehingga seolah-olah kedatangan Dajjal
itu merupakan suatu rahmat dan kebaikan yang melengkapkan Deen Islam yang masih
kurang dan tidak lengkap.
Apabila Islam mengajar manusia
tentang hukum-hakam dan peraturan jenayah serta undang-undang maka Dajjal pun
membawa sistem peraturan dan undang-undangnya yang kemudian diterima serta
dipakai di seluruh dunia dengan anggapan ianya lebih adil dan bertimbang rasa
dari undang-undang Islam.
Begitu juga dengan pemerintahan,
politik dan sebagainya. Manusia pasti akan terpedaya dengan sistem dan cara
hidup Dajjal yang mengubah sistem nilai dan fokus umat Islam daripada
mempertuhankan Allah SWT perlahan-lahan bertukar kepada mempertuhankan
kekuasaan Dajjal.
Dari syura kepada demokrasi, dari
ekonomi berteraskan kebajikan dan usaha kepada penindasan riba dan kapitalis.
Dari sistem undang-undang syariah kepada peraturan sivil dan perlembagaan
Negara. Perlahan-lahan idea Dajjal berjalan dan bergerak masuk ke dalam
kehidupan umat Islam.
Siapakah yang dapat menyelamatkan
diri dari Dajjal ?
Firman Allah yang bermaksud : “Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh
sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan
mereka memandang baik (perbuatan ma'siat) di muka bumi, dan pasti aku akan
menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis (ikhlas)
di antara mereka." (Al-Hijr : 39-40)
Anda mungkin dapat menyelamatkan
diri anda daripada Dajjal jika sekarang ini pun anda masih seorang Muslim dan
mukmin yang kuat bertawakal dan hanya yakin kepada Allah SWT. Maksudnya anda
bukanlah ahli MLM, atau peminat setia kelab rahsia tarikh lahir dan pelangan
dukun dan bomoh.
Ini kerana Dajjal berkuasa meramal
dan mendapat pertolongan Syaitan serta mampu melakukan hal-hal yang luar biasa
seperti menyembuhkan orang yang sakit, memanggil dan menahan hujan serta
pelbagai lagi keajaiban.
Jika bomoh patah yang menggunakan
jin pun orang sanggup percaya demi terbelit oleh tipuan syaitan yang
menggunakan ayat keramat berbunyi : “Apa salahnya kita mencuba berikhtiar saja,
mana tahu kalau-kalau sembuh.” Bayangkan jika Dajjal yang muncul dan
sememangnya mampu merawat pelbagai jenis penyakit seperti kanser, buah
pinggang, kencing manis dan jantung ??
Siapakah yang dapat menolak ajakan
dan godaan Dajjal ?
Orang kita sanggup berbuat apa
sahaja demi sembuh dari sakit walaupun berjumpa bomoh yang jelas diharamkan
oleh Islam inikan pula Dajjal yang datang dengan tipudaya dan kemampuan yang
lebih dahsyat.
Di dalam hadis juga menyebutkan
bahawa Dajjal berupaya mendatangkan rezeki dan kekayaan serta hasil bumi kepada
kaum yang beriman dengannya dan menarik serta menahan rezeki kepada golongan
yang mengingkari ajakannya.
Si Dajjal ini selain dari tipudaya
yang berupa magik dan keajaiban dia juga mampu menghidupkan orang yang sudah
mati serta boleh mendatangkan syurga dan neraka sehingga mengabui mata manusia
bahawa tidak syak lagi dia inilah tuhan yang sebenar.
Nah, bahaya yang diungkapkan oleh
nabi Salallahualaihiwassalam bukanlah bahaya fizikal dan badan tetapi jiwa dan
agama yang bakal dimusnahkan oleh Dajjal apabila tiba fitnahnya kepada kemuncak
di akhir zaman.
Sesungguhnya Dajjal itu tidaklah
berkuasa tetapi yang berkuasa itu adalah Allah SWT. Bahkan segala keajaiban
Dajjal adalah dari Allah jua sebagai ujian kepada manusia untuk melihat
siapakah yang benar-benar beriman.
Hanya yang ikhlas dan jujur dalam
beragama kerana mengharap redha Allah SWT sahaja yang dapat selamat dari
kedahsyatan fitnah Dajjal.
Sungguh layak kebimbangan baginda rasul
apabila fitnah Dajjal itu bagaikan singa lapar yang mengeroyak Iman yang nipis
seperti kulit bawang.
Kerana itulah dari Abu Hurairah ra
bahawa baginda nabi salallahualaihiwassalam telah mengajar kita agar selalu
berdoa dengan sabdaNya :
إِذَا
تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ ، يَقُولُ :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ
الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ
الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya : “ Apabila seseorang dari
kamu telah bertasyahud maka hendaklah dia membaca doa memohon perlindungan
Allah daripada empat perkara iaitu ya Allah, aku berlindung denganMu daripada
azab jahannam, daripada azab kubur, daripada fitnah hidup dan selepas mati dan
daripada kejahatan fitnah al-masih Dajjal.” (hadis riwayat Muslim)
Akhir kata, masihkah anda berasa
Dajjal itu tidaklah bahaya dan tidak perlu dibimbangkan ?
Segala puji hanyalah bagi Allah SWT.
Sumber : Pandangan Seorang Ustadz
0 komentar:
Posting Komentar